McDonald’s Malaysia Tarik Balik Saman RM6 Juta Terhadap BDS Malaysia

TERKINI
March 22, 2024 - 03:02 PM


McDonald’s Malaysia telah membuat keputusan untuk menarik balik saman ke atas badan bukan kerajaan anti-Israel, Boycott Divestment Sanctions (BDS) Malaysia.

Pengarah Urusan dan Rakan Kongsi Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Datuk Azmir Jaafar berkata, tindakan itu ambil selepas hasil positif proses mediasi serta penjelasan yang dibuat oleh BDS Malaysia. 

“Hasil pengantaraan dan penjelasan positif yang dibuat oleh BDS dalam kenyataan mereka baru-baru ini, yang mengakui bahawa tindakan pengendali McDonald’s di Israel adalah bebas sepenuhnya daripada McDonald’s Malaysia, kami akan menarik balik saman undang-undang itu,” kata Azmir

Katanya, sebagai perniagaan yang dimiliki sepenuhnya penganut Islam, McDonald’s Malaysia komited terhadap ketelusan, amalan perniagaan beretika dan tanggungjawab sosial terhadap rakyat negara ini.

Beliau menegaskan, pendirian McDonald’s Malaysia adalah teguh bahawa pihaknya tidak menyokong dan terlibat dalam sebarang konflik atau peperangan.

“Hati kami menyayangi mangsa yang tidak bersalah di Gaza yang terperangkap dalam konflik. Kami dengan tegas mengutuk semua bentuk keganasan dan berdoa untuk menamatkan perang dan keamanan yang berterusan.

“McDonald’s Malaysia terus menyokong rakyat Palestin yang terjejas oleh keganasan melalui sumbangan kami kepada Tabung Kemanusiaan Palestin dan pelbagai inisiatif pengumpulan dana pekerja untuk terus menyokong usaha bantuan di Gaza,” katanya.

Beliau berharap keputusan yang diambil oleh McDonald’s Malaysia membolehkan semua pihak bergerak ke hadapan dan menumpukan usaha mencari resolusi yang menegakkan keadilan.

“Setelah beroperasi selama lebih empat dekad di Malaysia dan menjadi perniagaan 100% milik Muslim, kami berbangga menjadi ahli masyarakat setempat dan tidak berbelah bahagi dalam komitmen kami terhadap ketelusan.” jelasnya.

Sebelum ini, McDonald’s Malaysia telah memfailkan saman sivil terhadap BDS Malaysia pada 30 Disember tahun lalu selepas terdapat gerakan memboikot rangkaian makanan segera itu di negara ini. 

Dalam saman tersebut, Gerbang Alaf Restaurant Sdn Bhd yang memegang lesen McDonald’s di Malaysia telah meminta BDS Malaysia untuk membuat permohonan maaf atas kenyataan yang berunsur fitnah dan ganti rugi khas sebanyak RM6 juta.

Gerakan boikot itu dibuat susulan tindakan McDonald’s Israel membekalkan makanan kepada tentera rejim Israel.

 

Sumber: Malaysia Gazette

Destination: