Rakam Video & Masuk Premis Terbakar, Pemilik Butik Terkenal Disiasat Pihak Bomba

TERKINI
March 26, 2024 - 11:39 AM


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menjalankan siasatan terhadap pemilik sebuah butik terkenal di Bangi, Selangor yang dipercayai telah mengingkari arahan dengan memasuki premisnya yang terlibat dalam kebakaran.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, siasatan secara menyeluruh itu dijalankan bagi mengetahui kejadian sebenar bagaimana pemilik premis berkenaan boleh masuk ke dalam premisnya, walaupun telah dihalang oleh pegawai bomba yang berada di lokasi.

“Kejadian kebakaran itu berlaku bukan di dalam bangunan tetapi di bahagian ruangan tangga yang diletakkan kotak-kotak kosong dan semasa kebakaran, kita dapat lihat beberapa orang awam (pemilik dan pekerja) telah masuk ke dalam premis berkenaan.

“Sekiranya terdapat bukti bahawa pemilik itu telah melanggar arahan, tindakan perundangan dari beberapa sudut boleh diambil, antaranya menghalang anggota dan pegawai bomba mengawal api kebakaran di dalam premis itu,” katanya.

Jelasnya lagi, sudah menjadi prosedur untuk pegawai bertugas melarang sesiapa masuk kerana bimbang dengan keselamatan pemilik dan pekerja butik ketika itu.

Bukan itu sahaja, anggota bomba juga perlu memastikan nyawa penghuni lain di dalam premis, orang awam dan anggota bertugas dalam keadaan selamat.

“Terdapat juga kandungan berhubung kejadian, kalau nak buat kandungan sekalipun, jangan sehingga membahayakan dan mengancam nyawa. Mungkin nampak asap kebakaran sikit sahaja, tetapi kalau oksigen berada di bawah 16 peratus, boleh menyebabkan pengsan,” katanya.

Baru-baru ini, tular sebuah rakaman video di media sosial yang menunjukkan butik pakaian terkenal di Bangi terbakar. Video tersebut mendapat perhatian ramai gara-gara tindakan pemilik butik itu yang sempat membuat video yang dirakam dari pelbagai sudut ketika pihak bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran. 

@elazman

ALLAH DATANGKAN UJIAN UNTUK KITA KUAT, ALLAH TANGGUHKAN SESUATU SUPAYA KITA SABAR.ALLAH HILANGKAN SESUATU SUPAYA KITA REDHA.PERCAYALAH ADA HIK MAN DISEBALIKNYA. Alhamdulillah dugaan itu rezeki butik ELRAH EXCLUSIVE Bangi

♬ original sound - El Azman

 

Sumber: Malaysia Gazette

Destination: