“Seolah-olah Memaksa Rakyat Daftar” – Kerajaan Sabah Gesa Pendaftaran PADU Dihentikan Sementara

TERKINI
March 26, 2024 - 03:24 PM


Selepas Sarawak, kini Sabah pula mahu Kementerian Ekonomi menghentikan sementara pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) dan membuat penilaian semula terhadap pelaksanaan program berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata beliau mengambil berat gesaan Kerajaan Persekutuan untuk pendaftaran menyeluruh sistem PADU, terutama apabila maklumat peribadi menjadi lebih penting berbanding sebelum ini.

"Saya juga kurang selesa dengan kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berhubung isu ini (pendaftaran PADU) yang dilihat seolah-olah memaksa (orang ramai).

"Sehubungan itu, saya menggesa agar beliau menghentikan sementara (pendaftaran PADU) dan buat penilaian semula strategi," katanya dalam satu kenyataan.

Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), menyifatkan pendaftaran PADU selama empat bulan yang menyasar kira-kira 20 juta rakyat, bukan saja sesuatu yang membimbangkan, malah membingungkan.

"Apa alasan di sebalik pendaftaran yang dibuat secara tergesa-gesa ini? Adakah ia tidak mendedahkan sistem ini kepada kesan terhadap keselamatan dan ketepatan data?

"Bagaimana persiapan kerajaan untuk memastikan data akan diurus dan dilindungi dengan selamat dalam situasi terlalu banyak data peribadi dimasukkan dalam sistem dengan masa yang singkat?

"Pastinya banyak kaedah dan pendekatan secara berfasa yang lebih berhemah. Lagipun, lebih 65 peratus rakyat Malaysia belum mendaftar, ia menunjukkan bahawa ada isu kepercayaan atau kelemahan," katanya.

Jeffrey berkata, keadaan itu mungkin kerana gangguan terhadap data yang diperlukan PADU, antaranya mengenai apa keperluan kerajaan untuk mengambil tahu jumlah wang yang dihutang rakyat dan bagaimana ia relevan dengan kelayakan mendapatkan subsidi.

Selain itu, katanya banyak soalan berkaitan seperti siapa yang membangunkan PADU, bagaimana ia melindungi data dan apa akan terjadi jika berlaku kebocoran data.

Jeffrey berkata, jika kerajaan tetap mahu meneruskan pendaftaran PADU, beliau mencadangkan agar platform yang digunakan diubah suai dan ditambah baik tanpa menimbulkan kebimbangan rakyat.

Katanya, kerajaan tidak perlu mengugut rakyat dengan mengatakan jika mereka tidak mendaftar, mereka tidak akan mendapat subsidi kerana taktik berkenaan tidak dapat meyakinkan orang ramai untuk memberikan kerjasama.

"Secara peribadi saya mencadangkan PADU menggunakan pangkalan data yang mereka sudah ada, bantu rakyat untuk mengurangkan kebimbangan privasi mereka dan lebih penting jangan bebankan rakyat," katanya.

 

Sumber: Berita Harian

Destination: