Wanita Sanggup Bawa Asid Sulfurik Dari Johor, Simbah Bekas Rakan Sebilik

TERKINI
May 09, 2024 - 01:54 PM


Seorang penuntut universiti didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan menyimbah asid kepada rakan, hingga menyebabkan mangsa cedera parah pada 3 Mei lalu.

Sumber & Kredit: buletintv3.my

Bagaimanapun tertuduh, A Keertana Naidu, 22, mohon dibicarakan sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Dalam tuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Nurul Husna Rahim, 22, dengan menggunakan benda melecur iaitu asid sulfurik.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki bahan kakisan iaitu asid sulfurik yang menimbulkan anggapan yang munasabah bahawa tertuduh bercadang hendak menggunakan bahan itu bagi menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Kesalahan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958 yang boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun dan disebat.

Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan di Pejabat Jabatan Keselamatan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, di sini, jam lebih kurang 4.23 petang, pada 3 Mei 2024.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Azeezi Nordin.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana ia satu kesalahan serius dan tertuduh dengan mangsa saling mengenali.

“Terdapat pertikaian masalah yang timbul antara mereka dan tertuduh sanggup datang dari Johor dengan membawa satu botol asid. Ia satu risiko yang tinggi jika tertuduh dijamin,” katanya.

Sementara itu, Azeezi memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin memandangkan tertuduh adalah seorang pelajar universiti di Pagoh, Johor.

“Mereka (tertuduh dan mangsa) berkawan dan pernah tinggal sebilik ketika belajar di Kolej Matrikulasi. Keluarga kedua-dua juga saling mengenali.

“Saya mohon mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin kerana dia perlu kembali ke universiti untuk sambung belajar,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa.

“Tertuduh juga diminta melapor diri setiap bulan di balai polis terdekat sehingga kes selesai,” katanya yang menetapkan 9 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

 

Destination: