Beza Ecotourism di Negara Maju Dengan Negara Mundur Atau Membangun! Malaysia?

TRAVEL
February 20, 2024 - 06:34 PM


Sekadar nak berkongsi pemerhatian. Beza ecotourism di negara maju dengan negara mundur atau membangun.

Bila hiking di negara-negara seperti Bulgaria, Switzerland, Korea, Taiwan, Turki, setakat ini belum pernah lagi saya jumpa “wajib” ambil guide. Memang ada sesetengah tempat perlu bayar yuran memasuki taman negara, tapi kita sekadar wajib bayar yuran masuk sahaja, tidak lah sampai kepada “wajib” kena pakai dan bayar guide, semata-mata untuk dapat masuk ke sesuatu kawasan atau laluan.

Perkhidmatan guide bukan tak ada, memang ada, tapi itu adalah pilihan masing-masing. Bagi yang tak yakin dengan laluan, memang digalakkan ambil, tapi yang taknak ambil, tidak diwajibkan.

Kalau di kawasan yang memang laluannya sukar, biasanya akan ditempatkan notis: “The hike is difficult and requires competency in navigational skills. It is advised to hire a professional guide.” — atau yang sewaktu dengannya.

Bahkan waktu saya hike di Pirin Mountains, Bulgaria (gambar kedua, ketiga dan keempat), ia adalah trek yang panjang makan 5 hari 4 malam, dan laluannya banyak bercabang lalu kawasan hutan-hutan sewaktu altitud masih rendah, sampailah ke altitud tinggi.

Saya ambil package self-guided hut to hut (hiking dari pondok ke pondok setiap hari), di mana tour-operator akan bookingkan pondok penginapan setiap malam, tapi tak ada guide. Pandai-pandailah sendiri.

Sistemnya, bila sampai sahaja di ibukota Bulgaria, jumpa dengan tour-operator, kita diberikan GPS dan peta serta diberi taklimat pendek. Kemudian kita dibawa ke trail-head dalam hutan, serta diturunkan di situ. Selebihnya, pandai-pandailah kita self-guided untuk sampai ke point yang ditetapkan setiap hari. Pondok Yavorov (hari pertama) - Koncheto - Vihren Hut (hari kedua) - Bergovitsa Hut (hari ketiga) - Pirin Hut (hari keempat) - Melnik (hari kelima).

Di Korea, saya daki gunung Hallasan, kena bayar yuran masuk, tapi tak diwajibkan ambil guide. Di Taiwan pun begitu. Di Swiss, lagilah, trek Via Alpina, langsung tak ada fee masuk tak ada kewajipan ambil guide, walhal itu trek yang panjang dan banyak cabang juga. Tapi sudah tentu, penandaan arah treknya sangat baik. Semuanya sendiri tanpa ada paksaan.

Di sesetengah negara scandinavia bahkan ada perundangan yang disebut sebagai “the right to roam” — hak untuk berkeliaran. Maksudnya pihak berkuasa tak boleh caj sebarang yuran langsung untuk masuk ke kawasan perhutanan atau alam semula jadi, serta tak boleh menetapkan syarat-syarat kena ambiil guide dan sebagainya. Hak itu dijamin di bawah perundangan. Negara seperti Norway mengamalkannya. Boleh google “right to roam”, kalau nak faham lebih mendalam.

Jadi bagaimanakah ecotourism mereka menjana ekonomi? Bagaimanakah orang-orang tempatan mendapat manfaat?

Jawapannya bukan dengan cara pau dan paksa pengunjung untuk ambil servis yang mereka tak mahu (seperti servis guide), tetapi melalui fasiliti yang disediakan: penginapan, makan-minum, dan juga transportasi. Macam di switzerland, tansport dan penginapannya memang mahal, tapi treknya terbuka luas kepada sesiapa sahaja, tiada yuran masuk dan tiada keperluan ambil guide. Servis guide tetap ada, tapi atas pilihan, jadi pandai-pandailah masing-masing yang menyediakan perkhidmatan guide nak promosi sendiri dan tetapkan harga supaya dapat menarik pelanggan. Orang tempatan di sesuatu kawasan mendapat manfaat jika mereka sediakan fasiliti penginapan, servis makan minum atau guide. Pengunjung atau hiker tidak di-pau dengan cara diwajibkan ambil guide atau malim gunung.

Tapi bila pergi ke negara mundur, seperti Nepal (Annapurna Circuit Trek) atau India, atau negara membangun seperti Indonesia maka di situ kita temui syarat-syarat: kalau nak masuk sekian-sekian kawasan, atau kalau nak naik sekian-sekian gunung, wajib ambil guide berdaftar bagi kawasan sekian-sekian. Di situ kita dapat tengok beza betul budaya dan cara fikir, antara memberi pilihan dengan mewajibkan.

Demikian pemerhatian ringkas saya, beza budaya kembara dan hiking di antara beberapa negara luar, tanpa menyentuh negara Malaysia nan tercinta.

Perkongsian oleh Aidil Khalid