Resipi Kuih Karipap Malaysia Terbaik Dunia

FOODIE
January 18, 2024 - 06:07 PM


Karipap merupakan sejenis makanan yang popular di Malaysia, Brunei, Thailand dan Singapura. Ia terdapat dalam pelbagai perisa, bergantung kepada inti di dalamnya. Bahan utama inti karipap ialah daging dan kentang. Ubi kentang sering digunakan sebagai inti karipap, adakalanya inti ubi keledek juga digunakan. Nama karipap boleh dikaitkan dengan inti tersebut, yang menggunakan serbuk kari sebagai bahan perasa. Adakalanya sekarang, inti karipap boleh digunakan dengan lada hitam. Isi ikan yang dibuat sebagai inti karipap, dikenali sebagai temosa.

Selepas Roti Canai, Kini Giliran Karipap Pula Tersenarai Antara Terbaik Dunia

Selepas roti canai menjadi hidangan kedua terbaik di dunia, kini giliran karipap pula dinobat pastri kelima terbaik dunia. Kuih yang sinonim dengan inti kentang, keledek dan sardin itu berada dibelakang beberapa lagi pastri dari Portugal dan Greece.

Hal tersebut dikongsikan TasteAtlas apabila menyenaraikan 100 pastri dan kuih muih terbaik di dunia dan karipap berada di dalam senarai tersebut.

Karipap ini merupakan sejenis kuih dengan kulit pastri yang diisi dengan inti seperti kentang atau keledek berperisa kari. Ada juga yang menambah potongan ayam ataupun daging di dalam inti tersebut serta perisa sardin bagi  memperbagaikan jenis karipap.

Pastri kelima terbaik dunia snek popular di Malaysia

Dalam keterangan pihak TasteAtlas. kuih ini merupakan antara snek makanan yang cukup popular di Malaysia dan dihidangkan pada waktu sarapan pagi bahkan pada minum petang.

Kerana kesederhanaan dan rasanya yang sedap, karipap cepat popular di luar Malaysia terutamanya di Thailand dan Singapura.

Terdahulu, roti canai telah dinobatkan sebagai roti terbaik dan menjadi hidangan kedua terbaik di dunia menurut TasteAtlas.

Perkara tersebut sudah tentu menggembirakan rakyat Malaysia memandangkan dua juadah berkenaan adalah makanan yang sering diperoleh lebih-lebih lagi di gerai-gerai pada awal pagi serta waktu petang.

Di Johor, karipap lebih dikenali sebagai epok-epok. Dalam bahasa Inggeris pula ia dipanggil curry puff, tetapi lainnya ialah bentuk curry puff tidak semestinya seperti karipap. Juga, perbezaan dari segi pembuatan pastri karipap dan curry puff tidak sama. Lipatan pada atas karipap yang seperti satu corakan dipanggil kelim.

Di Indonesia, kuih seperti karipap ini dipanggil pastel, yang intinya daripada bihun, sayur-sayuran dan daging. Nama pastel berasal dari bahasa Portugis. Di negeri Sabah, karipap berinti bihun juga dipanggil pastil.

Kuih karipap selalunya menjadi pilihan menu dalam mesyuarat kerajaan ataupun swasta. Biasanya ia disertakan dengan kopi dan teh o panas menyebabkan keadaan mesyuarat rasmi lebih ceria

Resepi Karipap Kentang Rangup

Bahan untuk kulit :

- 500g tepung gandum

- 80g marjerin

- 3 sudu besar minyak masak

- 1 cawan air sejuk

- secubit garam

1. Sediakan tepung + secubit garam dalam bekas. Buat lubang dekat tengah-tengah bekas.

2. Panaskan marjerin + minyak. Tuang panas-panas ditengah-tengah tepung tadi dan gaul rata guna senduk kayu dengan berhati-hati.

3. Setelah suam, gaulkan guna tangan hingga menjadi seperti serbuk roti.

4. Tuangkan air sejuk sedikit demi sedikit dan uli doh hingga tak melekat di tangan. Kadar sukatan air bergantung jenis tepung yang kita guna.

5. Setelah doh siap diuli, masuk kan di dalam plastik atau bekas kedap udara dan simpan di dalam peti sejuk selama 30 minit.

Bahan untuk inti :

- 3 biji kentang size sederhana

- serbuk kari

- 2 ulas bawang putih

- 2 biji bawang kecil

- daun kari

- kiub ayam

- garam/serbuk perasa

1. Kupas kentang, cuci dan potong dadu.

2. Rebus kentang hingga empuk. Kemudian tumis semua bahan sehingga air kering. Perasakan garam dan siap.

Keluarkan doh tadi.. Mula mencanai dan terap guna penerap karipap atau kelim karipap cara manual.

Sedia untuk digoreng.

Tips : Goreng karipap dengan minyak sejuk untuk kulit karipap yang licin.. Goreng karipap dengan minyak panas untuk kulit karipap yang menggerutu..

Selamat mencuba. - AMY AKIM