Guna Nama Dan Bendera Israel, Kelab Bola Sepak Di Indonesia Ini Cetus Kemarahan Netizen

SUKAN
March 12, 2024 - 11:27 AM


Kekejaman yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin terutama di Gaza masih lagi belum berakhir apabila negara haram tersebut masih terus-menerus melakukan keganasan dan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin.

Di saat ramai yang mengecam dan mengkritik tindakan Israel, ada pula pihak yang menunjukkan sokongan kepada negara haram berkenaan dan hal itu berlaku di negara jiran, Indonesia.

Pihak tersebut adalah sebuah kelab bola sepak di Indonesia yang menggunakan nama Israel FC sebagai nama rasmi pasukan. Bukan itu sahaja, warna dan logo di jersi rasmi pasukan itu juga diambil dari bendera negara haram tersebut iaitu warna biru dan putih dan logo bintang David di bahagian tengah jersi.

Yang mengejutkan, pasukan tersebut diwakili beberapa bekas pemain yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan Indonesia iaitu Titus Bonai dan Todd Rivaldo Ferre.

Berita tentang kewujudan kelab tersebut pastinya mencetuskan kemarahan peminat bola sepak Indonesia yang mana sebahagian besar para peminat adalah beragama Islam.

Tindakan kelab tersebut menggunakan nama dan jersi yang jelas menunjukkan identiti negara haram itu dianggap tidak menjaga sensitiviti selain menyokong kekejaman yang dilakukan rejim zionis terhadap rakyat Palestin.

Selain itu, laman Instagram Titus dan Rivaldo juga diserang peminat bola sepak Indonesia kerana mereka berdua dilihat seolah-olah memberikan sokongan kepada rejim zionis. 

Difahamkan, kedua-dua pemain tersebut kemudiannya memadam semua gambar yang menunjukkan mereka bermain dengan kelab tersebut.

 

Sumber: X

Destination: