Malaysia Ditawar Jadi Host Sukan Komanwel 2026 Dengan Dana Sebanyak RM602 Juta

SUKAN
March 12, 2024 - 01:30 PM


Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) telah menawarkan peluang kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 bagi menggantikan Victoria, Australia, yang menarik diri tahun lepas.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam kenyataan hari ini berkata tawaran itu merangkumi pelaburan kewangan yang besar menjangkau 100 juta pound (kira-kira RM601 juta) untuk menyokong perancangan bagi penganjuran edisi 2026 itu. 

"Susulan undangan rasmi daripada CGF kepada MOM yang juga dikenali sebagai Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia bulan lepas, MOM telah memulakan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai kemungkinan menganjurkan Sukan Komanwel 2026 selepas pembida yang menang iaitu Victoria, Australia menarik diri tahun lepas," menurut kenyataan itu. 

Menurut Presiden CGA Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, pihak kerajaan harus mempertimbangkan tawaran ini kerana ia dilihat sebagai penerus kepada legasi kejayaan Malaysia yang pernah menganjurkan kejohanan tersebut pada 1998 selain dapat mengembalikan Malaysia di peta sukan dunia. 

Mohamad Norza berkata penganjuran berkenaan pasti akan melibatkan perbelanjaan kerajaan yang minimum selain membawa manfaat sosioekonomi yang besar kepada negara.

"Ia juga akan meningkatkan standard sukan Malaysia seperti yang berlaku selepas Sukan Komanwel 1998," katanya.

Sabtu lepas Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memaklumkan Kabinet akan membuat keputusan sama ada Malaysia berminat untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Victoria, yang sepatutnya menjadi tuan rumah edisi ke-23 menarik diri pada Julai tahun lepas disebabkan kenaikan kos penyelenggaraan dari jangkaan awal AUD2.6 bilion (sekitar RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion).

Penarikan tersebut menyebabkan kerajaan Austalia perlu membayar AUD380 juta bagi pelanggaran kontrak kerana gagal menganjurkan acara berkenaan yang dijadualkan dari 17 hingga 29 Mac 2026.

Sebagai info, Malaysia adalah negara Asia pertama menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada 1998. Pada 2010, sukan empat tahun sekali itu kembali ke rantau ini dan berlangsung di India. 

 

Sumber: Astro Awani

Destination: