Tindakan Pelari Afrika Undang Kontroversi, Penganjur Siasat Kemenangan 'Mudah' Pelari China

SUKAN
April 17, 2024 - 12:56 PM


Penganjur acara separa maraton Beijing menyatakan bahawa mereka akan melancarkan siasatan selepas rakaman video yang menunjukkan tiga pelari Afrika sengaja memberikan kemenangan kepada peserta China, He Jie tular di internet.

Klip video perlumbaan kelmarin menunjukkan pelari Kenya, Robert Keter bersama-sama Willy Mnagat dan Dejene Hailu dari Ethiopia serta pelari tuan rumah, He menghampiri garisan penamat. 

Difahamkan, keempat-empat pelari tersebut beriringan sepanjang acara berkenaan sejauh 21 kilometer.

Namun dalam video yang tular, tiga orang pelari Afrika itu dilihat melambai kepada He di hadapan mereka sambil memperlahankan larian masing-masing. 

He selaku pemenang pingat emas maraton Sukan Asia 2023, memenangi kejohanan tersebut dengan kelebihan masa satu saat.

“Kami sedang menyiasat dan akan mengumumkan keputusan siasatan kepada orang ramai,” kata seorang pegawai Biro Sukan Beijing kepada AFP. Perkara tersebut turut disahkan oleh penganjur, Pusat Pengurusan Pertandingan Sukan Beijing dan Pusat Pertukaran Antarabangsa.

Insiden itu mendapat perhatian meluas di laman sosial China, Weibo dengan sebilangan netizen mengkritik kejadian itu sebagai ‘memalukan’.

Mengulas isu tersebut, badan kawal selia acara trek dan lapangan antarabangsa menyatakan, pihaknya ‘sedar’ tentang rakaman tersebut dan siasatan yang dilakukan.

“Integriti sukan kami adalah keutamaan tertinggi. Kami bagaimanapun tidak dapat mengulas lanjut kerana siasatan sedang dijalankan,” kata Pengarah Komunikasi Olahraga Dunia, Jamie Fox kepada AFP.

Sebagai makluman, acara larian jarak jauh semakin popular dalam kalangan rakyat kelas pertengahan di China, namun terdapat banyak insiden penipuan dan penganjuran yang lemah.

Buktinya, pada 2018, seramai 258 pelari didapati menipu dengan mengambil jalan pintas pada kejohanan separa maraton bandar Shenzhen.

Pada tahun berikutnya, seorang wanita didapati mengayuh basikal sewa dalam acara Maraton Antarabangsa Xuzhou.

 

Sumber: Kosmo

Destination: