Hanya Kerana Tidak Mampu Ganti Pemadam, Kanak-Kanak 10 Tahun Tawar Seks

TERKINI
May 06, 2024 - 04:51 PM


Gara-gara tidak cukup duit untuk menggantikan pemadam rakannya, seorang kanak-kanak perempuan bersetuju menawarkan seks sebagai cara pampasan kepada kawan-kawan lelaki sebayanya.

Kisah itu diceritakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dalam forum Persidangan Kawal Selia Antarabangsa 2024 (IRC) yang berlangsung hari ini.

Ujarnya, tiada kes difailkan memandangkan kisah kanak-kanak perempuan 10 tahun itu disifatkan tiada liabiti jenayah.

“Kanak-kanak itu sendiri bersetuju (rogol berkumpulan) bersama kepada dua rakannya berusia sembilan dan 10 tahun kerana tidak mempunyai wang untuk menggantikan pemadam.

“Jadi memandangkan semua yang terlibat berusia bawah 10 tahun, tiada kes difailkan, kerana tiada liabiliti jenayah. Timbalan pendakwa raya telah dirujuk, tetapi tiada bukti dikemukakan.

“Kejadian itu berlaku tahun lepas dan kami telah pun membuka kertas siasatan kerana bimbang ini merupakan sebahagian daripada trend generasi baharu,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shuhaily menzahirkan kebimbangan dengan kemudahan akses kanak-kanak kepada media sosial dan pornografi sehingga menjadi ‘barah’ dalam masyarakat hari ini.

Ujarnya, kes rogol tidak dinafikan meningkat secara amnya, namun kes membabitkan remaja bawah umur juga menunjukkan pelonjakan setiap tahun.

“Jumlah kes membabitkan mangsa bawah umur semakin meningkat setiap tahun. Kes yang dilaporkan kepada kami mungkin adalah sebahagian kecil daripada realiti yang benar-benar terjadi.

“Peningkatan ketara selepas pandemik Covid-19 kerana majoriti menggunakan media sosial untuk berinteraksi dan jumlah ini semakin bertambah hari demi hari,” katanya

Destination: