Ms Puiyi Saman Bekas Rakan Kongsi Selepas Ditipu RM4.3 Juta

TERKINI
April 22, 2024 - 12:18 PM


Model Siew Pui Yi atau lebih dikenali sebagai Ms Puiyi telah memfailkan saman terhadap bekas rakan niaga kerana didakwa menipunya hampir RM4.3 juta, menurut Free Malaysia Today.

Beliau meminta pengarah syarikatnya berusia 29 tahun yang dikenali sebagai “Mentos” itu untuk menyelesaikan cukai tertunggak syarikat dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada tahun lalu.

Namun, lelaki tersebut melarikan diri tanpa membuat sebarang bayaran. Pada masa sama, dia juga mendakwa lelaki itu telah menyeleweng dana daripada syarikatnya PY Empire Sdn Bhd sejak Jun 2022.

“Saya telah diperkenalkan kepadanya oleh rakan pada 2019 dan dia dilihat sebagai seorang yang berintegriti tinggi.

“Dia menguruskan hal sumber manusia syarikat saya dan melaburkan dana syarikat (saya),” katanya pada sidang media.

“Saya mempercayainya dan memberinya jumlah (hampir RM4.3 juta). Tetapi dia tidak menjelaskan tunggakan cukai pendapatan seperti yang diarahkan. Disebabkan perbuatannya, saya mengalami kerugian,” katanya. 

Peguamnya K Mahendran berkata satu laporan polis dibuat model itu pada Oktober tahun lalu dan polis sudah dua kali merakam keterangan Siew.

Bagaimanapun, dakwanya tiada sebarang tindakan atau perkembangan berkaitan kes itu.

Mahendran berkata saman sivil itu difailkan di Mahkamah Tinggi untuk menuntut kembali RM2.3 juta, selain kos dan ganti rugi lain yang ditetapkan mahkamah.

 

Sumber: Free Malaysia Today

Destination: