Pesawah Kaitkan Agong Dengan Judi Mengaku Tak Bersalah, Minta Kurangkan Ikat Jamin Sebab Ramai Tanggungan

TERKINI
April 30, 2024 - 03:38 PM


Seorang pesawah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di Butterworth, hari ini atas tuduhan perbuatan menghasut yang mengaitkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dengan aktiviti perjudian pada Khamis lalu.

Tertuduh bernama Azman Md Yusof, 46, yang mempunyai 4 orang anak mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Hakim, Noor Aini Yusof. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menerbitkan penerbitan menghasut iaitu “Agong nk (mahu) main judi dekat ckit (sikit)” dalam aplikasi WhatsApp menerusi kumpulan Khariah Pmtg Sungai Dua. 

Menurut pertuduhan, Azman telah menghasut orang ramai di dalam kumpulan WhatsApp Kariah Permatang Sungai Dua. Kesalahan dilakukan pada 25 April lalu pada 8.45 malam.

Kes didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. 

Semasa prosiding, Pengarah Pendakwa Raya Negeri, Mohd Nordin Ismail mencadangkan tertuduh diikat jamin RM10,000 susulan kesalahan membabitkan hantaran berbaur hasutan kini semakin berleluasa di media sosial.  

“Saya juga mohon mahkamah memerintahkan menyahaktifkan WhatsApp kumpulan Khariah Pmtg Sungai Dua atas faktor menyentuh perkara 3R (agama, raja, kaum)," katanya.

Bagaimanapun, peguam, Mohd Izad Buqhary Mohd Kamri yang mewakili tertuduh memohon kadar ikat jamin itu dikurangkan.

“Anak guam saya merupakan seorang pesawah yang tidak mempunyai pendapatan tetap malah dia perlu menyara isteri serta empat anaknya berusia lingkungan empat hingga 16 tahun,” katanya. 

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,500 serta perlu mengikut syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Selain itu, tertuduh juga tidak dibenarkan memuat naik sebarang hantaran di media sosial sehingga kes selesai. Kes akan disebut semula pada 20 Mei depan. 

 

Sumber: Malaysia Gazette

Destination: