QSR Brands Tutup Lebih 100 Cawangan KFC Untuk Sementara Waktu Akibat Diboikot

TERKINI
April 30, 2024 - 11:07 AM


QSR Brands (M) Holdings Bhd, pemegang francais restoran KFC di Malaysia, mengambil langkah proaktif apabila bertindak untuk menutup sementara lebih 100 daripada 770 cawangan KFC Malaysia. Penutupan itu diramalkan kerana gerakan boikot yang berlangsung.

Menurut satu sumber, setakat petang 27 April, sudah ada 108 cawangan telah menghentikan operasi buat sementara waktu dimana Kelantan mencatatkan angka paling tinggi dengan hampir 80 peratus atau sehingga 21 cawangan ditutup buat sementara waktu. 

15 cawangan di Johor (tutup sementara waktu), Kedah (11), Terengganu (10), Pahang (10), Perak (9), Negeri Sembilan (6), Perlis (2), Melaka (2), Pulau Pinang (5), Kuala Lumpur (3), Sabah (1) dan Sarawak (2). 

Dalam pada itu QSR Brands menyatakan bahawa penutupan cawangan terpilih itu adalah sebagai salah satu cara menguruskan kos perniagaan yang semakin meningkat dan menumpukan zon perniagaan yang tinggi keterlibatannya sebagai tindak balas terhadap keadaan ekonomi yang kian mencabar.

Dalam kenyataan pada Isnin, QSR Brands menjelaskan, pekerja dari restoran yang terjejas diberikan peluang untuk ditempatkan semula di cawangan yang beroperasi sebagai sebahagian strategi taktikal untuk mengoptimumkan sumber di zon perdagangan dengan keterlibatan pelanggan yang lebih tinggi. 

Syarikat itu memaklumkan bahawa menyumbang secara positif kepada masyarakat Malaysia, mengekalkan kecintaan jenama terhadap KFC, dan melindungi pekerja adalah keutamaan bagi organisasi.

"Pekerja dari restoran yang terjejas ditawarkan peluang untuk berpindah ke restoran yang lebih sibuk sebagai sebahagian usaha pengoptimuman semula oleh syarikat.

"Sebagai syarikat yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia selama lebih 50 tahun, tumpuan kekal pada menyediakan produk dan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan di samping menyumbang secara positif kepada ekonomi Malaysia melalui jaminan pekerjaan untuk 18,000 ahli pasukan di Malaysia, dengan 85 peratus adalah Muslim,” jelasnya.

QSR Brands menjelaskan, KFC Malaysia terus menjadi antara pembayar cukai terbesar di Malaysia dan berbangga dapat memberi balik kepada masyarakat melalui KFC Add Hope dan Dana Zakat Wakalah. 

"Kami percaya rakyat Malaysia akan mengiktiraf asal usul Malaysia kami, keikhlasan serta kerja keras kami dalam menyumbang kepada ekosistem Malaysia,” katanya.

 

Sumber: Sinar Harian & The Vocket

Destination: