"Tidak Boleh Tolak Permohonan Pasport Hanya Kerana Tak Fasih Bahasa Melayu" – KP Imigresen

TERKINI
April 25, 2024 - 11:13 AM


Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan bahawa pegawainya tidak dibenarkan untuk menolak sebarang permohonan pasport hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh dalam satu kenyataan berkata, bagaimanapun pegawai imigresen akan melaksanakan semakan rawak dari pelbagai aspek bagi mengesahkan permohonan.

Semakan bagaimanapun perlu dilakukan secara profesional dan berhemah.

Kenyataan ini dikeluarkan susulan kekecewaan seorang lelaki yang tidak dapat memperbaharui pasport ibunya kerana tidak boleh bercakap bahasa Melayu di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pulau Pinang, kelmarin.

Difahamkan, warga emas berkenaan sudah pun berjaya memperbaharui dan mengambil pasportnya pada Isnin, 24 April di UTC Pulau Pinang. 

“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ingin memaklumkan bahawa pelanggan terbabit sudah dapat memperbaharui pasport dan mengambilnya di Pejabat UTC Pulau Pinang pada hari sama (22 April lalu).

“JIM komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan sentiasa mengingatkan semua pegawai untuk menyantuni pelanggan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan,” katanya dalam kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, tular tentang seorang kakitangan UTC yang tidak membenarkan seorang wanita warga emas memperbaharui pasportnya hanya kerana gagal menguasai bahasa kebangsaan.

Kecewa dengan perkara itu, anak lelakinya tampil meluahkan kekecewaan di Facebook dengan menerangkan kepada pegawai berkenaan bahawa pertuturan ibunya dalam bahasa kebangsaan adalah terhad kerana tidak bersekolah.

Namun alasan tersebut tidak diterima oleh kakitangan UTC itu dan memintanya untuk datang semula dan bertemu dengan pegawai atasan pada keesokan harinya. 

 

Kredit: Facebook & BuzzKini 

Destination: