Kes Madrasah Dera Penghuni Ala Militan, Mahkamah Putuskan "No Further Action"! Ibu Dituduh Buat Laporan Palsu
TERKINISeorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan membuat laporan polis palsu berhubung sebuah madrasah pemulihan dadah kendalian sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini pada 21 Ogos lalu.
Tertuduh, Zuraina Zamri, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, Mohamad Redza Azhar Rezali.
Berdasarkan pertuduhan, Zuraina didakwa membuat laporan dengan memberikan maklumat secara bertulis iaitu laporan polis Sri Muda yang diketahuinya palsu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.45 tengah malam di Balai Polis Taman Sri Muda, Seksyen 25 pada 21 Ogos.
Kami buat report sekarang, mak saya di dakwa dengan laporan palsu.
— hafiz ayub (@hafizfiz18) September 26, 2022
Justeru dia didakwa telah melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum enam bulan atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.
Elyza Amira juga meminta agar tertuduh tidak membuat sebarang kenyataan media supaya tidak mengganggu perjalanan kes serta saksi awam.
Manakala peguam bela yang mewakili tertuduh, Datuk Wan Azmir Wan Majid, memohon jaminan dikurangkan kerana Zuraina hanya suri rumah, manakala suaminya berpendapatan bulanan RM3,000.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pada 21 Ogos lalu, wanita itu membuat laporan bahawa anaknya yang berusia 20 tahun yang menghuni madrasah itu dipukul, ditumbuk dan kepala diketuk oleh warden serta mahu mengeluarkan anaknya daripada tempat itu.
