[VIDEO] "Lain Macam Budak Universiti Kat Terengganu Berhibur Sekarang" - Viral Video Pelajar IPTA Menari Sakan Campur Lelaki Perempuan

TERKINI
June 15, 2023 - 12:43 PM


Bermula pagi semalam (14 Jun) -- kecoh di media sosial dengan penyebaran video berdurasi 37 saat yang memaparkan konsert hiburan di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Terengganu.

Video tular itu menyaksikan kelibat lelaki dan wanita dipercayai pelajar IPTA berkenaan berhibur menonton konsert terbabit sambil menari beramai-ramai.

Panas diperdebatkan oleh netizen di platform media sosial -- kerajaan negeri Terengganu dilaporkan akan menyiasat dakwaan penganjuran konsert hiburan yang dikatakan keterlaluan di IPTA berkenaan.

Konsert melibatkan pencampuran lelaki dan perempuan itu didakwa melanggar Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Datuk Satiful Bahri Mamat berkata, siasatan akan dilakukan bagi mendapatkan maklumat lanjut terhadap penyebaran video konsert berkenaan.

Beliau berkata, sekiranya benar, ia tidak sepatutnya berlaku apatah lagi di dalam kawasan kampus.

“Tidak sepatutnya berlaku kerana garis panduan (hiburan) bukan perkara baharu di Terengganu.

“Walaupun berlaku di dalam kawasan persendirian sekalipun, kena ikut garis panduan tersebut kerana ia dasar kerajaan negeri (Terengganu),” katanya.

Sementara itu, pejabat naib canselor IPTA yang dihubungi memberitahu siasatan dalaman berhubung isu tersebut sedang dilakukan.

Sumber: KOSMO! ONLINE

Destination: